Related Posts with Thumbnails

Thursday, May 06, 2010

Gabus penapis rokok guna Darah babi

Salams,
sekadar berkongsi ..
-------------------------------------------
Artikel ini disiarkan dalam akhbar I Luv Islam, kolum I LUv Sihat, bilangan 7, 16-22 April 2010
KREDIT Penulis:
Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG) ialah juru runding nutrisi holistik, pendidik, penulis, kolumnis. Blog: SEMBANG-SEMBANG HERBA.
Baru-baru ini sekumpulan penyelidik Belanda mendedahkan penggunaan hemoglobin darah babi digunakan sebagai komponen gabus penapis rokok. Hemoglobin dikatakan berupaya menapis bahan-bahan berbahaya dari asap rokok secara berkesan.
Profesor Chapman dari University of Sydney berkata bahawa pengilang-pengilang rokok berasa lega kerana industri tembakau tidak dikehendaki mendedahkan bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan rokok. Ini bermaksud perokok-perokok tidak tahu samada rokok yang mereka biasa beli mengandungi darah babi atau tidak.
Jadi, ini merupakan amaran kepada penagih rokok yang sudah tentu tahu asap rokok membahayakan diri sendiri dan orang lain. Bukankah kes sebegini menimbulkan was-was? Dan bukankah dalam Islam jika kita was-was terhadap sesuatu perkara maka kita wajib menjauhinya?
Penagih tegar
Pelbagai alasan lagi diberikan oleh penagih rokok jika mereka dinasihatkan oleh isteri atau rakan supaya berhenti merokok. Sesetengahnya kata jika mereka berhenti merokok, mereka mudah mengantuk dan tidak boleh melakukan kerja dengan sempurna. Mereka juga berasalan selera makan mereka akan bertambah dan berat badan mereka akan bertambah.
Dalam pejabat tidak dibenarkan merokok. Mereka curi-curi keluar samada ke bilik air atau ke kawasan luar pejabat untuk merokok. Di tempat-tempat awam sebenarnya ialah kawasan larangan merokok tetapi penagih rokok tetap hisap rokok dalam restoren, panggung wayang, bas dan lif. Penagih rokok juga menghisap rokok dalam kereta ketika bawa keluarga bersiar-siar.
Asap rokok mengandunggi hingga 4,000 jenis bahan kimia. Sebahagian besarnya terdiri dari bahan-bahan kimia penyebab sel bermutasi dan penyebab kanser terdiri dari polycyclic hydrocarbon (PAH), nitrosamines, logam berat seperti Cadmium, dan bahan radioaktif.
Selain itu ia mengandungi kimia pencemar seperti benzene, formaldehyde, toluene, hydrogen cyanide dan beberapa bahagian persejuta (ppm) kimia makhluk perosak. Bahan-bahan kimia yang disebutkan boleh menyebabkan kerosakan sel dan DNA bermutasi. Kedua-dua aktiviti ini dikaitkan dengan pembentuklan kanser. Asap rokok juga mengandungi karbon monoksida yang sangat tidak sihat kepada kesihatan tubuh.
Asap rokok kedua dan ketiga
Sejak beberapa dekad yang lalu kita dengar orang yang menghidu asap rokok keuda yang dihisap oleh orang lain juga terdedah kepada bahaya termasuk sakit kepala, loya, sakit mata. Bahaya jangka panjang dikaitkan dengan pembentukan kanser terutama kanser paru-paru.
Selain asap rokok kedua, perokok dan bukan perokok terdedah kepada asap rokok ketiga. Dr. Stuart Abramson dare Texas Children's Hospital dan Dr. Angela Scotts berkata bahawa seseorang yang berada dalam bilik di mana perokok baru saja merokok mendedahkan diri mereka kepada bahan-bahan pencemar pada paras yang tinggi. Partikel-partikel berbahaya tersebut lekat pada perkakas dan kerusi meja, langsir, permaidani, tikar, pakaian. Ia juga melekat pada pakaian, tubuh dan rambut perokok. Seseorang yang menyentuh alat-alat dan bahan tersebut terdedah kepada bahan kimia berbahaya dan bahan penyebab kanser.
Mengandung dan merokok
Berikut ialah risiko terhadap kandungan dan bayi yang dilahirkan jika anda merokok sebelum dan ketika mengandung:
• Bayi lahir tidak cukup berat
• Bayi lahir tidak cukup bulan
• Bayi dilahirkan cacat seperti masalah berkaitan otak dan jantung
Hukum di sisi Islam
Dari perspektif ugama Islam, terdapat dua jenis pendapat orang ramai mengenai hukum menghisap rokok. Di sini, pendapat mereka berdasarkan beberapa punca seperti pendidikan ugama, mendengar fatwa atau sekadar pendapat akal semata-mata. Ia tidak bermaksud utnuk menggantikan fatwa majlis ugama.
Yang pertama mengatakan merokok haram kerana ia membazir wang kepada perbuatan sia-sia. Merokok juga haram kerana walau pun mengetahui gejala buruk merokok terutama pembentukan kanser tetapi perokok dengan sengaja menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan (perintah Allah dalam surah Al-Baqarah: 195).
Golongan kedua berpendapat merokok hanya makruh kerana ia setakat menghasilkan bau busuk dan menyebabkan ketagihan. Pada tahun 1997, Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa merokok haram di sisi Islam.
Adakah mesej ini sampai kepada kita? Dan jika ia sampai pun, apakah initiatif perokok dan orang-orang sekeliling perokok dalam menanggapi hal ini? Berapa ramai perokok berugama Islam yang mungkin cuba berhenti merokok dan berapa ramai pula yang akan mempertahankan aktiviti merokok mereka dengan melawan fatwa tersebut dengan pelbagai alasan?
Langkah bijak
• Luangkan masa untuk belajar pendidikan ugama termasuk berkaitan hukum-hukum pembaziran dan perkara yang membahayakan diri sendiri dan orang lain.
• Setelah bersedia, berhentilah merokok.
• Jika sukar untuk berhenti, elakkan dari merokok dalam rumah, kereta dan di tempat-tempat awam.
• Lengkapkan bilik dengan bungkah garam Himalaya berlampu yang sentiasa dinyalakan dipercayai membantu menutralkan sebahagian dari toksin asap rokok.
• Gantikan alat kelengkapan dan perhiasan bilik yang terdedah kepada asap rokok dengan kelengkapan baru kerana menurut Dr Abramson mencuci tidak memadai.
GLOSARI
Asap rokok kedua - asap rokok yang dihembus oleh perokok dan dihidu oleh orang lain
Asap rokok ketiga – gas dan partikel bertoksin dari asap rokok kedua yang melekat pada rambut, kulit, pakaian atau perhiasan selepas perokok berhenti menghisap rokok

0 comments:

Post a Comment